Monday, August 10, 2015

POST PERTAMAKU...BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM...

Segala puji bagi Allah yg menjadikan setiap sesuatu, Dialah yg memberi segala ilmu, rezeki dan kelebihan yang saya ada pada hari ini...

Awal mula blog saya, ingin saya kongsikan serba sedikit latar belakang saya supaya anda semua dapat lihat kenapa saya pilih jalan ini...

Saya merupakan anak ke 6 daripada 8 adik beradik. Dilahirkan dalam keluarga yang besar dan Arwah bapa saya merupakan seorang tukang rumah, nelayan, dan pengawal keselamatan. Itu lah pekerjaannya sepanjang hidup saya dibesarkan oleh beliau. Manakala ibu yg mesra dengan panggilan cik, merupakan seorang surirumah yang memilih untuk bekerja ketika saya berusia 10 tahun untuk membantu beban arwah ayah. Ibu bercucuk tanam sayur dan mangga di belakang rumah dan menjual hasilnya itu secara kecil-kecilan, beliau juga pernah berniaga kuih muih, bekerja di bangsal proses ikan bilis, kilang baja, kilang kayu dan mengambil upah menjahit baju. Kalau korang perasan, betapa banyak kerja ibu bapa saya demi menyara kesemua 8 org anak sehingga ke peringkat master. 

Saya sentiasa di latih untuk rajin belajar agar dapat mengubah nasib hidup kami sekeluarga. juga diasuh ilmu agama sebaiknya. Selain itu, melihatkan tauladan drp ibu yang bijak menyusun perbelanjaan rumah agar setiap bulan beliau dapat memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun BSN dan Tabung Haji kami adik beradik. Beliau juga mengajar kami untuk menyimpan duit raya kami ke dalam akaun. Saya tidak pernah terfikir untuk memberlanjakan wang tersebut kerana yakin, suatu hari nanti duit itu bakal membantu ibu dan ayah suatu hari nanti.

Seawal umur 9 tahun, saya sudah mula menulis keluar masuk duit dalam buku akaun seperti lejar cuma, cara saya hanya ringkas sesuai bagi corak pemikiran anak seusia saya ketika itu. duit belanja sekolah sebanyak 40 sen yg ibu berikan, akan saya simpan paling sedikit 20sen. balik, saya akan tulis wang masuk dan wang keluar dalam buku latihan yg dibeli khas untuk tujuan itu. duit-duit itu saya simpan dalam botol bedak kosong.

Menginjak usia 10 tahun, saya teringin untuk bantu ibu mendapatkan duit lebih. Jadi melihatkan abang berniaga kuih dengan basikal setiap petang, saya mohon ibu buatkan kuih untuk saya jualkan di sekolah. Zaman itu, berniaga di sekolah tidak dilarang. Apatah lagi saya antara murid yang mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan, jadi cikgu tidak halang usaha saya. Lagipun saya merupakan pelajar cemerlang akademik di sekolah itu. Apabila kakak sulong kami belikan peti ais untuk ibu, saya berniaga ais krim pula.

Ketika kecil, makanan kami agak terhad. Pernah sekali saya teringin untuk makan jagung, tetapi saya tau gaji arwah ayah RM250, dan ibu RM200 belum tentu cecah, mana mungkin saya minta ibu belikan jagung sedangkan nasi dan lauk lebih penting. Jadi saya nekad dalam hati, suatu hari nanti saya akan usaha dapatkan banyak wang secara halal untuk beli makanan untuk keluarga saya. 

Sejak itu juga saya semakin gigih menyimpan walaupun terpaksa berlapar semasa di Universiti. Sepanjang persekolahan, saya tak pernah lapar kerana makanan asas disediakan dan saya pula bersekolah di MRSM sehingga SPM. Jadi makanan yang asrama sediakan itu lebih mewah dari di rumah. Ketika kawan-kawan menangis mengeluh makanan asrama tidak sedap, saya pulun cukup-cukup sebab, di rumah dapat makan ayam kampung goreng dah cukup mewah bagi kami. Musim tengkujuh, ikan kering lah lauk kami tapi ituah yang paling sedap. Sebab itu hasil air tangan ibu.

Di universiti, saya susah hati sebab saya dinafikan hak untuk memohon biasiswa oleh pekerja Hal Ehwal Pelajar UKM ketika itu. Namun Allah SWT sayangkan saya, saya dipilih untuk menerima wang bantuan sebanyak RM1000. Jumlah itu sangat besar bagi saya kerana ketika itu tahun 1998 adalah zaman kemelesetan ekonomi Malaysia. Saya tak sampai hati nak minta duit dari ibu bapa sebab ramai lagi adik-beradik lain yang memerlukan. Untuk daftar masuk Matrikulasi pun kak long saya gadai gelang emasnya. Masuk UKM pula, ibu beri RM700 untuk pendaftaran. Selebihnya saya lupa siapa yang biaya. Untuk duit belanja, saya kutip syiling2 yang saya simpan dalam botol bedak semasa sekolah rendah dulu. Ketika ini saya sangat dalam keadaan stres sehingga saya melukakan hati kakak saya yg no 3. Saya harap dia maafkan kebodohan saya ketika itu.

Di UKM bermulalah era menahan lapar. Sekali lagi saya stres sebab tak dapat tumpukan perhatian dengan perut kosong. Saya hanya mampu makan yon tau fu (kuey teow, kangkung shj) yg berharga RM2.00, malam pula saya akan tunggu nasi lemak seringgit yg dijual di Cyber Cafe asrama. Saya memang tak pernah bercerita walaupun kepada ibu saya kerana tak mahu dia risau dan saya sanggup berkorban apa sahaja demi adik beradik saya yang lain. Dalam hati, saya yakin saya boleh lakukan sesuatu.

Jadi, apabila saya terdengar bahawa denagn menyertai PALAPES, kami akan dibayar dan makan ketika latihan ditanggung sepenuhnya. Maka, saya pun mendaftar diri. Disebabkan saya seorang yang lasak sejak kecil, tiada siapa perasan tujuan saya menyertai PALAPES. Namun, semakin lama saya semakin seronok menjadi kadet wataniah dan meneruskan sehingga ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Ketika masuk tahun 2, saya terbaca iklan kerja kosong di Kiosk Nescafe yang bakal dibuka. Cepat2 saya pergi hantar borang. Alhamdulillah, saya dipilih menjadi salah seorg Pengurus batch pertama untuk kisok nescafe UKM. Banyak saya perolehi dari kerja itu, pengalaman sangat berharga dan roti percuma setiap minggu daripada tokey roti yg bernama Ah Seng. Ingin saya bertemu dengannya sekali lagi..

Banyak lagi saya nak kongsikan. Sebab segala yang berlaku sangat bersangkut paut dengan apa yang saya berjaya capai dalam hidup saya. Bukan lah duit 2.6 Bil tetapi kejayaan dari segi kebahagiaan, ketenangan dan betapa banyak kebaikan yang dapat kita salurkan kembali kepada mereka yang memerlukan lebih berharga daripada harga dunia berjuta...